My Add

Wednesday 29 February 2012

Phahrolrazi akui hubungan dengan MB kritikal

ALOR SETAR, SELASA, 28 Februari, 2012: Datuk Phahrolrazi Zawawi mengakui hubungan beliau dengan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah mencapai tahap kritikal.

Berikutan itu Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata, beliau enggan dilantik semula sebagai Exco kerana mempunyai perbezaan pendapat dengan Menteri Besar itu berhubung soal pentadbiran kerajaan negeri.

"Hal berkaitan khilaf atau berbeza pendapat tidak boleh dielak dalam mana-mana kepimpinan organisasi. Kadangkala dalam 10 perkara mungkin empat lima perkara tidak sependapat, tidak apa lagi tetapi kalau enam tujuh perkara tidak sependapat tidak wajarlah kita duduk dalam organisasi ini.

"Kenapa sekarang? Saya melihat tahun pertama Pas Kedah mula mentadbir parti masih terumbang-ambing lagipun tentulah tidak banyak keputusan kita buat, tetapi sekarang banyak perkara dan keputusan dibuat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Phahrolrazi mengadakan sidang akhbar tersebut tepat pada pukul 4 petang selepas lapan anggota Exco kerajaan negeri mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit.

Phahrolrazi antara dua Exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah termasuk Datuk Dr. Ismail Salleh.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi yang mengakui sudah lama 'tidak sebulu' dengan Azizan berkata, ia melibatkan hal berkaitan pentadbiran kerajaan negeri yang meliputi isu kecekapan dan dalam perkara membuat sesuatu keputusan.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum memikirkan berkaitan kedudukan dalam parti sama ada mahu melepaskan jawatan yang disandang atau sebaliknya.

Menyentuh kemungkinan beliau akan menerima semula tawaran sekiranya dilantik sebagai Exco, Phahrolrazi memberitahu, beliau sedia berbuat demikian, namun dengan beberapa syarat.

"Saya tidak boleh dedahkan syarat itu, biar ia jadi rahsia dulu," katanya.

Phahrolrazi juga mengakui bahawa Dr. Ismail sependapat dengan beliau dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

"Selepas empat tahun mentadbir kita boleh menilai keberkesanan kerajaan negeri, jadi saya memilih untuk tidak lagi bersama barisan kepimpinan negeri," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau bercita-cita mahu menjadi menteri besar, Phahrolrazi berkata, perkara tersebut tidak benar kerana beliau sepatutnya perlu terus berada dalam kerajaan negeri jika mahu memegang jawatan itu.

Phahrolrazi juga menafikan keengganan beliau dilantik semula sebagai Exco mempunyai kaitan dengan golongan 'Anwarinas.'

Beliau berkata, corak politik di Kedah berbeza dengan politik nasional yang dikaitkan dengan golongan tertentu.

Katanya, dakwaan tersebut sekadar spekulasi liar daripada pemerhati politik sahaja yang didakwanya telah tersasar.

"Saya tidak ada hubungan dengan dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Malah tidak ada sebab untuk kami berhubungan kerana beliau pemimpin pusat, saya peringkat negeri sahaja.

"Apabila wartawan tulis, banyak spekulasi yang tersasar daripada apa sebenarnya berlaku dan dikaitkan dengan isu Anwarinas ini.

"Sebenarnya ia tidak berbangkit soal itu dalam politik Kedah ini cuma andaian pengamal politik sahaja. Kedah di bawah pimpinan Pas yang menggabungkan profesional dan ulama. Saya boleh bekerja dengan kedua-dua golongan ini dan tiada masalah," katanya.

Phahrolrazi turut menafikan sebarang komplot untuk menjatuhkan Azizan.

"Perkara itu tidak berbangkit kerana saya hendak berhenti jadi Exco kalau saya nak jatuhkan Azizan saya tidak akan berhenti jadi Exco. Tentulah saya terus jadi Exco lagi," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment