My Add

Wednesday, 29 February 2012

Setuju cadangan SPRM langkah berani PM

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya sumbangan dana politik wajib dibuat terus ke akaun rasmi parti dilihat sebagai tindakan berani dan tegas.

Pengasas Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, tidak semua pemimpin berani untuk mengambil pendekatan seperti itu dalam mengekang gejala rasuah.

Katanya, keputusan tersebut jelas membuktikan sikap Najib yang serius untuk memerangi gejala itu khususnya rasuah politik.

“Gerak menyambut baik langkah itu kerana ia adalah antara langkah berani diambil Perdana Menteri sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

“Ia bukan satu keputusan yang mudah dan sebab itu tidak ramai pemimpin berani untuk melakukan transformasi sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas langkah Perdana Menteri yang bersetuju dengan cadangan SPRM berkenaan sumbangan dana politik wajib dibuat terus ke akaun rasmi parti yang diumumkan di Putrajaya, semalam,

Mohamad Ezam yang juga Ahli Dewan Negara, menambah, Gerak turut mengalu-alukan persetujuan Perdana Menteri agar kuasa diberikan kepada SPRM untuk mengakses dokumen aset anggota-anggota pentadbiran Persekutuan.

“Perkara ini akan memberi kuasa kepada SPRM untuk melakukan siasat dan mendakwa sesiapa sahaja yang terbabit dalam gejala rasuah,” tegasnya.

Selain itu, beliau juga menyeru masyarakat agar memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri di atas komitmen jujur yang ditonjolkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment