My Add

Tuesday, 28 February 2012

Dr. Siti Hasmah lancarkan Upin & Ipin The Musical

KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Teater Muzikal Upin & Ipin mencatat sejarah tersendiri apabila tiket pementasan hari pertama dan keduanya pada 14 dan 15 April ini habis dijual, kira-kira dua bulan sebelum pementasan itu berlangsung di Istana Budaya di sini.

Menurut penerbit Upin & Ipin The Musical, Burhanuddin Md. Radzi, pihaknya telah mula menerima tempahan tiket bagi menyaksikan persembahan yang diadaptasi daripada siri kartun Upin & Ipinyang popular di televisyen (TV) terbitan Les' Copaque Production itu.

"Kami juga akan mengadakan pementasan Upin & Ipin The Musical dalam versi bahasa Inggeris pada 28 April ini pukul 3 petang bagi memenuhi permintaan daripada beberapa sekolah antarabangsa sekitar Lembah Klang yang menempah tiket pementasan ini.

"Saya yakin sambutan para penonton akan semakin meningkat memandangkan populariti Upin & Ipin yang turut disiarkan menerusi saluran Disney Channel menggunakan medium bahasa Inggeris.

"Malah, populariti Upin & Ipin juga menular di negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina dan Vietnam di mana kami yakin mampu menarik ramai peminat menyaksikan pementasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran teater muzikal itu yang disempurnakan oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di sini hari ini.

Tambah Burhanuddin, Upin & Ipin The Musical yang menelan kos hampir RM2 juta itu juga merupakan teater adaptasi dari TV yang pertama dipentaskan di Istana Budaya.

Katanya, jika pementasan muzikal yang berlangsung dari 14 April hingga 6 Mei ini dengan tiket-tiket berharga RM53 hingga mencecah RM300 itu berlangsung dengan jayanya, beliau berhasrat membawa pementasan arahan Zaifri Husin tersebut ke luar negara.

"Kalau Upin & Ipin The Musical ini mendapat sambutan ramai, kami bercadang mementaskan ia di negara-negara seperti Singapura atau Indonesia. Ini salah satu usaha kami mengangkat teater muzikal dan animasi tempatan ke peringkat dunia," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment