My Add

Wednesday 29 February 2012

Penyelia Petronas didakwa terima rasuah RM5,000

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Februari, 2012: Bekas penyelia Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah RM5,000 daripada seorang kontraktor, dua tahun lalu. 

Ahmad Zaki Kamaruddin, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Ahmad Zaki, yang sebelum ini bekerja di bahagian Perolehan & Logistik PETRONAS dituduh menerima wang RM5,000 daripada kontraktor Mohd Azam Mohamad melalui rakan tertuduh iaitu Herman Bakar sebagai dorongan bagi mempercepatkan pengeluaran sijil pendaftaran membekal peralatan dan memberi perkhidmatan kepada PETRONAS.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di stesen minyak Petronas, Jalan Genting Klang pada jam 9.30 malam, 8 Disember 2010. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000, atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada SPRM memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh kerana jumlah itu adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. 

Peguam Abdul Razak Abu Bakar yang mewakili Ahmad Zaki memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan sejak tahun lalu. 

"Anak guam saya tidak pernah gagal untuk melaporkan diri kepada pihak SPRM pada 7 haribulan, pada setiap bulan dan ini menunjukkan dia memberi kerjasama kepada SPRM," katanya. 

Hakim Ahmad Zamzani membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mac untuk sebutan semula kes. Abang ipar tertuduh membayar wang jaminan itu.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment