My Add

Wednesday 29 February 2012

RM86.7 juta projek pembangunan wilayah kemajuan

MOHD. Shafie Apdal diberi penerangan oleh Wan Mat Amin Wan Daud (dua dari kiri) pada majlis pecah tanah projek pembesaran Bandar Ketengah Jaya di Dungun, Terengganu, semalam.

DUNGUN, SELASA, 28 Februari, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM86.7 juta bagi projek pembangunan di wilayah kemajuan di seluruh negara pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu bagi penyediaan prasarana yang diperlukan termasuk kediaman untuk penduduk setempat.

Katanya, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) mendapat RM20.7 juta, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) RM21.5 juta, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) RM23.6 juta dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) RM20.9 juta.

"Kesemua peruntukan itu disalurkan kepada wilayah-wilayah berkenaan tahun ini," katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembesaran Bandar Ketengah Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan; Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud.

Dalam pada itu, Bandar Ketengah Jaya dekat sini bakal berubah wajah apabila projek pembesaran kawasan itu dilaksanakan tidak lama lagi membabitkan peruntukan permulaan kira-kira RM9 juta.

Projek tersebut melibatkan tiga fasa pembangunan termasuk penyediaan infrastruktur, rumah kediaman dan premis kedai.

Mohd. Shafie berkata, bagi fasa pertama, projek itu melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan hektar untuk projek prasarana serta pembinaan 224 lot kediaman.

Di samping itu jelasnya, kawasan itu juga akan dimajukan dengan premis kedai selain memajukan sektor perladangan di kawasan itu.

"Untuk fasa pertama tahun ini, sebanyak RM9 juta diperuntukkan dan jika ada keperluan untuk tahun depan, peruntukan tambahan lebih RM12 juta lagi akan disediakan bagi membangunkan kawasan ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment