KUALA LUMPUR, RABU, 29 FebRUARI, 2012: Majalah Kristian antara mazhab dari Kuala Lumpur, Asian Beacon yang mengeluarkan artikel dianggap mencemar nama baik kaum Iban, hari ini memohon maaf dan melahirkan rasa kesal berhubung penyiaran artikel tersebut, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.
Katanya, perkara itu dinyatakan kepada beliau oleh tiga wakil majalah dwibulanan itu, terdiri daripada Presiden, Editor dan Pentadbir yang hadir pada 3 petang ini di pejabatnya di sini dan pertemuan itu berlangsung selama setengah jam.
"Tiga wakil majalah tersebut telah datang berjumpa saya dan mereka meminta maaf dan berjanji kesilapan mereka dalam menerbitkan artikel tersebut, tidak berulang lagi.
"Mereka juga akan meminta penulis untuk turut sama meminta maaf bukan hanya kepada orang Iban tetapi juga pembaca yang terkeliru dengan artikel yang diterbitkan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Artikel bertajuk ”Of Skulls And Sago Worms”, yang ditulis seorang arkitek dari Petaling Jaya dan disiarkan dalam keluaran Februari-Mac 2012, telah menyentuh apa yang dikatakan tabiat makan kaum Iban dan moral mereka, yang telah menyinggung perasaan komuniti Iban serta pemimpinnya dan mendesak Asian Beacon memohon maaf.
Semalam, Gagasan Dayak Iban Bersatu (GAIU) Johor membuat laporan polis berhubung artikel tersebut dan dalam satu kenyataan dalam akaun Facebook Asian Beacon semalam, pihak tersebut telah memohon maaf dan amat kesal dengan kejadian tersebut. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment