My Add

Tuesday, 28 February 2012

Kerajaan setuju tambah 150 kakitangan SPRM setiap tahun

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012: Kerajaan bersetuju menambah 150 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap tahun sehingga jumlah keanggotaannya mencecah 5,000 orang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah kakitangan SPRM kini amat membimbangkan kerana sehingga Julai tahun lalu rekod keanggotaan SPRM hanya seramai 1,805 pegawai.

"Bercakap mengenai tentang beban tugas, saya ingin nyatakan bahawa kerajaan amat faham dan mengambil serius kekangan dan kekurangan yang dihadapi SPRM khususnya dalam keanggotaan dan bajet.

"Dengan kelulusan terbaru ini saya yakin SPRM boleh menjalankan tugas secara berkesan, tambahan pula kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 adalah lebih luas berbanding akta sebelumnya iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menurut Najib, jumlah pertambahan 150 orang setahun itu dibuat memandangkan proses pelantikan pegawai-pegawai SPRM bukan seperti mana prosedur pegawai kerajaan yang lain.

"Mereka memerlukan latihan dan kepakaran tertentu, justeru mereka perlu dilatih selama tempoh beberapa bulan untuk memastikan pengetahuan berhubung undang-undang dapat diperlengkap.

"Selain itu, jenayah rasuah kini semakin kompleks dan global merentasi sempadan, justeru SPRM sangat memerlukan kakitangan yang profesional dan pakar dalam pelbagai bidang bagi membanteras rasuah sebegini," katanya.

Dalam ucapan yang sama, Perdana Menteri turut bersetuju dengan pandangan Lembaga Penasihat SPRM bahawa bagi memperlihatkan kebebasan badan itu, maka satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah wajar diwujudkan.

Katanya, suruhanjaya itu kelak akan diberikan kuasa untuk melantik dan memecat anggota SPRM, namun buat masa ini semua proses pelantikan dan pemecatan pegawai-pegawai dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Sekiranya suruhanjaya itu terbentuk sebagai mana Suruhanjaya Polis dan Suruhanjaya Pendidikan maka SPRM boleh menapis, memilih, menemu duga, melantik dan memecat anggota-anggotanya sendiri.

"Tetapi perkara ini memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, Insya Allah sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang, pindaan Perlembagaan sewajarnya akan dibuat dan Suruhanjaya Perkhidmatan ini akan dibentuk," katanya.

Sementara itu, kata beliau, antara perkara lain yang sedang dikaji kerajaan termasuklah status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mungkin setaraf dengan jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan para hakim bagi memastikan ketelusan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment