My Add

Wednesday 29 February 2012

Fatwa larang anak luar nikah dibinkan bapa tak perlu dikaji

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan fatwa yang melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan dinasabkan (dibinkan) kepada bapanya, tidak perlu dikaji semula.

Jelas beliau, fatwa tersebut telah ditentukan oleh ulama-ulama terdahulu setelah menimbangkan keadaan dan hukumannya.

"Walaupun telah berkahwin empat bulan dan lelaki itu mengaku bahawa itu anaknya, ia tetap tidak boleh dinasabkan kerana hubungan itu berlaku sebelum nikah yang sah dan bayi itu tetap hasil daripada zina.

"Kalau tetap dinasabkan akan mengundang banyak masalah kepada keturunan, pusaka dan kewalian, kita tidak boleh hanya fikirkan kepentingan. Kita kena fikirkan perkara yang sebenar," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menyarankan Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji semula fatwa melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan dinasabkan (dibinkan) kepada bapanya.

Jelas Juanda, kajian semula itu perlu dilakukan kerana keputusan tersebut hanya disandarkan kepada dalil bersifat tafsiran (mafhum) dan bukannya ditetapkan (mantuq).

Pada 1971, persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan, tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Jelas Harussani, tiada satu syariah yang turun itu menyusahkan umat kerana Allah mengangkat manusia untuk menjadi contoh kepada seluruh makhluk daripada malaikat, jin dan haiwan.

Kata beliau lagi, masalah anak luar nikah sememangnya membimbangkan kerana statistik pada tahun 2008 menunjukkan terdapat 17,000 golongan itu di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment