My Add

Friday 20 April 2012

Asalnya pembangkang sokong PTPTN

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 April, 2012: Semasa Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibentangkan pada 1997, pembangkang turut menyokong penubuhan tabung itu, namun kini berlaku sebaliknya apabila pakatan pembangkang bermati-matian mahu memansuhkannya pula.

Antara pemimpin pembangkang yang menyokong penubuhan PTPTN sewaktu rang undang-undang itu dibentang di Dewan Rakyat ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun dua pemimpin itu kini hanya berdiam diri dengan janji Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan pinjaman PTPTN jika pakatan menang pada pilihan raya umum akan datang sehingga menarik minat beberapa kelompok pelajar universiti melakukan demonstrasi.

Kit Siang sebagaimana dipetik daripada hansard Parlimen berkata: "Tuan Yang Dipertua, saya mengalu-alukan Rang Undang-Undang PTPTN untuk memperuntukkan satu tabung bagi membenarkan anak-anak kita berpeluang melanjutkan pendidikan tinggi.

"Dalam masa negara kita menuju kepada satu masyarakat berilmu, institusi pengajian tinggi tentulah memainkan satu peranan yang penting dan kita perlu memupuk satu budaya cemerlang dalam semua bidang di universiti."

Rang undang-undang tersebut dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Petikan hansard mengenai sokongan Kit Siang dan Guan Eng tersebut turut didedahkan di dalam laman blog, http://www.mole.my.

Dalam perkembangan yang sama, Guan Eng pula dipetik sebagai berkata: "Tuan Yang Dipertua, saya ingin mendapat jaminan daripada Yang Berhormat Menteri bahawa rang undang-undang ini akan dilaksanakan dengan adil dan saksama, tidak kira kaum serta agama.

"Ia mesti berdasarkan latar belakang sosial pelajar tersebut, iaitu kalau kita hendak meluluskan biasiswa atau pinjaman, ia mesti berdasarkan dua kriteria yang penting iaitu merit dan keperluan."

Malah, beliau yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, peruntukan awal RM100 juta untuk PTPTN tidak mencukupi, sebaliknya menggesa kerajaan menyediakan dana sekurang-kurangnya RM1 bilion jika benar-benar ikhlas.

Sementara itu, pihak pengurusan Parlimen ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan Kit Siang dan Guan Eng memang menyokong rang undang-undang penubuhan PTPTN berdasarkan hansard pada 14 Mei 1997, bilangan 27, jilid III. 

No comments:

Post a Comment