My Add

Friday 20 April 2012

Palestin perlu bantuan kita

*AWANG Suffian Awang Piut (kiri) memberi penerangan mengenai projek dan bantuan Aman Palestin kepada Ismail Haniyeh pada pertemuan di Semenanjung Gaza, semalam. - BERNAMA

GAZA, KHAMIS, 19 April, 2012: Penduduk Palestin memerlukan bantuan berterusan dari Malaysia terutama membabitkan sokongan kewangan, politik dan penyebaran maklumat menerusi media massa, kata pemimpin kanan kumpulan Hamas, Ismail Haniyeh.

Katanya, bantuan itu diperlukan selagi Palestin terus dibelenggu kekejaman rejim Israel dalam usaha mempercepatkan pembebasan mereka.

"Rakyat Palestin berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bersama-sama membela isu ini terutamanya bantuan kebajikan yang dapat membantu Palestin mendirikan negara yang merdeka," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menerima kunjungan Aman Palestin, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia di pejabatnya di Semenanjung Gaza.

Kata Ismail, bantuan media Malaysia amat diperlukan bagi menyebarkan maklumat kepada dunia mengenai nasib rakyat Palestin serta rancangan jahat rejim Zionis terhadap Baitul Muqaddis dan Masjid Al-Aqsa.

"Saya berharap agar semua menanam rasa cinta terhadap isu Baitul Muqaddis dan dunia mesti menghebahkan apa yang dilakukan Yahudi di Masjid Al-Aqsa kerana Al-Quds adalah kiblat pertama Islam, masjid kedua dibina atas muka bumi dan masjid ketiga paling suci bagi Islam," katanya.

Ismail bertemu dengan 21 anggota delegasi yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut serta beberapa ahli perniagaan, pegawai dan media.

Turut menyertai rombongan ini ialah Muhammad Razique Muhammad Rafique, yang baru berusia dua tahun selaku anggota sukarelawan termuda dan mendapat pujian Ismail.

Misi kemanusiaan Aman Palestin VIII di Gaza adalah bagi menyerahkan bekalan perubatan, generator, sebuah stesen penyahgaraman dan bertemu 500 anak yatim yang ditaja Aman Palestin Pasukan itu juga akan melawat beberapa kawasan pertanian dan ternakan di Gaza bagi mewujudkan perniagaan kecil untuk rakyat Palestin di sini yang dikenakan sekatan sejak 2009.

Aman Palestin, sebuah organisasi pertama hasil inisiatif Malaysia di Semenanjung Gaza memulakan kegiatan amal pada 2006 terutamanya bagi melaksanakan projek-projek bagi menambah baik khidmat perubatan dan keadaan mangsa pelarian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment