My Add

Thursday 5 April 2012

ASEAN perlu pemimpin masa depan

PHNOM PENH, RABU, 04 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menekankan tentang pentingnya ASEAN memberi tumpuan kepada pembangunan insan, kreativiti dan hubungan dengan generasi muda bagi mengasah kepemimpinan yang bakal meneruskan kemajuan rantau.

Beliau berkata, ASEAN memerlukan pemimpin untuk meneroka peluang-peluang baru di peringkat global dan ketiga-tiga elemen itu penting bagi membuka jalan ke arah itu.

"Walaupun hari ini, kita berada di persimpangan dengan Kesatuan Eropah masih dibelenggu ribut ekonomi, ASEAN perlu berwaspada bagi mengelak masalah. Sebab itu amat penting sekarang untuk memastikan ASEAN mempunyai daya kepimpinan yang dapat membawa kita melepasi halangan agar kembali kuat dan lebih bersatu," katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia ketika menghadiri jamuan makan tengah hari di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Pengiran Mohd. Hussein Pengiran Mohd. Tahir Nasruddin di Rumah Malaysia di sini hari ini. Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Menurutnya, ASEAN akan memperincikan terlebih dahulu Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan sebelum memulakan perbincangan dengan China bagi mencari penyelesaian berhubung isu tuntutan bertindih di wilayah maritim itu.

Katanya, gagasan itu juga mengambil ketetapan bahawa penyelesaian mestilah dibuat secara damai berasaskan Kerangka ASEAN.

“Para pemimpin ASEAN mengalu-alukan kesediaan China untuk berbincang dengan anggota ASEAN mengenai COC. Bagaimanapun, rata-ratanya bersetuju bahawa ASEAN perlu merangka COC dalam kalangan anggota terlebih dahulu sebelum memulakan perbincangan dengan China,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment