My Add

Saturday 14 April 2012

'Dakwa mereka yang persenda raja'

KANGAR, SABTU, 14 April, 2012: Beberapa pemimpin kanan kerajaan hari ini mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Negara pada 11 April lalu. 

Mereka juga mahu pihak yang terbabit diheret ke muka pengadilan sebagai satu pengajaran kepada generasi muda agar menghormati institusi Raja-raja Melayu di negara ini.

Sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai keterlaluan, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perbuatan itu juga menjadi testimoni mengenai sikap sebenar pemimpin pembangkang. 

"Belum lagi berkuasa dah tunjuk kuasa mereka," kata Rais semasa berucap pada majlis perasmian Program Merakyatkan Seni dan Budaya, Komuniti 1Malaysia bersama masyarakat keturunan Siam peringkat negeri Perlis di sini hari ini. 

Beliau turut menyifatkan sikap pemimpin-pemimpin pembangkang yang sebelumnya diberi penghormatan menghadiri istiadat itu sebagai mencabul negara mereka sendiri. 

"Mereka tidak boleh diharap untuk menerajui pentadbiran negara ini," katanya. 

Di BAGAN DATOH, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula mahu mereka yang terbabit didakwa sebagai satu pengajaran kepada generasi muda supaya tidak menghina institusi Raja-raja Melayu.

"Saya fikir ia harus disiasat untuk pengajaran kepada pemimpin generasi akan datang dan dijadikan panduan supaya mereka lebih matang dalam menangani perbezaan pendapat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Peduli Jujur Sinar. 

Beliau berkata, tindakan dan perbuatan pemimpin pembangkang itu adalah tidak wajar walaupun terdapat perbezaan fahaman politik yang dibenarkan dalam amalan demokrasi. 

Di SITIAWAN, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihak berwajib perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa agar tidak dapat memasuki istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong lagi, pada masa akan datang. 

Tindakan pihak terbabit adalah sebagai sesuatu yang mempersenda Perlembagaan dan kedaulatan Raja-Raja di negara ini. 

"Saya kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku kerana keadaan seumpama ini seperti mencaci, menghina, mempersendakan Raja-raja biasanya kita dengar di luar tetapi ini di dalam istana yang mana kita dijemput untuk menyaksikan istiadat, tetapi bertindak sesuatu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat bersama warga peserta FELCRA di Perak di Perkampungan Felcra Lekir, Kampung Koh di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment