My Add

Saturday 14 April 2012

Rais bidas sikap pemimpin pembangkang di Istana Negara

KANGAR, SABTU, 14 April, 2012: Perbuatan beberapa pemimpin pembangkang mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu menjadi testimoni mengenai sikap sebenar mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Katanya, perbuatan semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Negara pada 11 April lalu, adalah keterlaluan.

"Belum lagi berkuasa dah tunjuk kuasa mereka," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Merakyatkan Seni dan Budaya, Komuniti 1Malaysia bersama masyarakat keturunan Siam peringkat negeri Perlis di sini hari ini.

Rais turut menyifatkan sikap pemimpin pembangkang yang sebelumnya diberi penghormatan menghadiri istiadat itu sebagai mencabul negara mereka sendiri. 

"Mereka tidak boleh diharap untuk menerajui pentadbiran negara ini," katanya. 

Sehubungan itu, Rais menasihati rakyat supaya mengamalkan budaya murni dan tidak mengikut gelagat pembangkang yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu. 

Beliau menyarankan pelbagai pihak termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan program yang boleh meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai asas perlembagaan negara.

Katanya, pengetahuan asas perlembagaan itu akan menjadikan rakyat lebih menghargai negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum dan budaya. 

Rais dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, kemudian secara bersama melancarkan program yang berlangsung di Kolej Jururawat Masyarakat, Behor Pulai itu dengan gimik mencedok air daripada guri dan menuangkannya ke dalam buluh. 

Serentak dengan itu, jentera bomba turut memancutkan air ke udara bagi membolehkan masyarakat keturunan Siam menyambut pesta Songkran atau pesta simbahan air yang menjadi budaya masyarakat keturunan itu sejak turut-temurun. 

Pada majlis itu juga, Rais turut menyampaikan 20 unit komputer riba 1Malaysia kepada pelajar, kumpulan seni budaya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Behor. 

Beliau turut menyampaikan set alat muzik pergendangan Siam kepada badan budaya Kampung Padang Jelutong. 

Sebelum itu, Rais bersama Menteri Besar Perlis melawat tiga rumah penduduk daif di Kampung Padang Patani dekat sini untuk memberi bantuan barangan keperluan harian serta wang RM500 kepada setiap keluarga. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Siam Perlis, Datuk Siw Chun a/p Eam, berkata pesta Songkran yang disambut masyarakat keturunan Siam hari ini sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia. 

Katanya, masyarakat berbilang kaum memupuk perpaduan dan ikatan silaturahim melalui festival ini kerana acara simbahan air bukanlah satu bentuk acara keagamaan sebaliknya sebagai tradisi. 

Terdapat lebih 60,000 rakyat keturunan Siam di negara ini dan 6,000 daripadanya menetap di Perlis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment