My Add

Tuesday 3 April 2012

Dapatkan pengesahan sebelum sebar maklumat jenayah: Polis

JOHOR BAHRU, SELASA, 03 April, 2012: Polis hari ini mengingatkan pengguna laman sosial supaya mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu kejadian jenayah sebelum berkongsi maklumat itu di laman berkenaan. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata maklumat yang tidak tepat mengenai kejadian jenayah bukan sahaja memberi kesan kepada pihak berkuasa bahkan masyarakat. 

"Orang awam perlu maklum, kita (polis) mempunyai akaun Facebook dan Twitter di mana maklumat yang tepat mengenai kejadian jenayah boleh diperolehi di situ.

"Adalah lebih baik jika pengguna laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang menerima maklumat jenayah mendapatkan pengesahan polis terlebih dahulu melalui laman sosial rasmi polis sebelum menyebarkan perkara berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pengguna laman sosial menyebarkan maklumat berhubung kejadian jenayah menerusi Facebook dan Twitter termasuk memberi gambaran berhubung aktiviti jenayah di sesuatu kawasan sehingga menimbulkan rasa panik pada kalangan masyarakat. 

Beliau berkata, polis sentiasa memantau perbuatan menyebarkan maklumat palsu pada laman sosial dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan terhadap individu yang terbabit. 

Katanya, polis juga sentiasa bekerjasama dengan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mengesan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. 

"Jadi, saya minta pengguna laman sosial jangan buat perkara tidak menguntungkan. Jangan kita berasa seronok dengan perkara yang tidak betul, kita dedah kepada umum," katanya yang sebelum itu melakukan tinjauan di Terminal Larkin Sentral, di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment