My Add

Tuesday 3 April 2012

Jaminan projek MRT tidak jejas pengguna jalan raya

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 April, 2012: Kerajaan sentiasa memastikan pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) tidak memberi kesulitan yang teruk kepada keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan pembinaannya. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin, berkata sejak awal perancangan projek itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) diminta memastikan supaya pengurusan trafik yang berkesan meliputi penilaian kesan trafik. 

"MRT turut merangka pelan pengurusan trafik yang komprehensif serta mematuhi keperluan pihak berkuasa tempatan supaya proses pembinaannya dapat diselaraskan dengan cekap dan kesulitan yang berpunca daripada pembinaan MRT dapat diminimumkan.

"Kerajaan memberi perhatian dan keutamaan kepada projek MRT bagi laluan Sungai Buluh dan Kajang demi kepentingan dan keselesaan rakyat terutamanya penduduk kawasan Lembah Klang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) di Dewan Rakyat hari ini. 

Ismail ingin tahu tahap pelaksanaan projek MRT setakat ini dan bagaimana proses pembinaannya akan diselaraskan untuk tidak meningkatkan kesesakan yang sedia ada. 

Awang Adek berkata, kerajaan sedia maklum bahawa projek MRT adalah pembangunan infrastruktur berkepentingan rakyat yang akan membabitkan kerja fizikal di kawasan lalu lintas berkepadatan trafik yang tinggi di sekitar Lembah Klang. 

"Potensi masalah yang akan timbul dan ini sesuatu yang perlu dititikberatkan oleh MRT Corp supaya kerja-kerja ini tidak akan memberi kesulitan kepada penduduk tempatan dan pengguna di kawasan tersebut terjamin," katanya. 

Menurutnya, terdapat 86 pakej kerja MRT untuk laluan tersebut sehingga 23 Mac 2012 dengan 27 pakej kerja sudah dianugerahkan kepada kontraktor yang layak dan meliputi kerja-kerja awalan seperti pengalihan utiliti dan penyediaan tanah. 

"Sebanyak 12 pakej kerja masih dalam pembidaan dan baki 47 pakej kerja belum dibuka untuk pembidaan," katanya. 

Awang Adek berkata, apa yang penting, pelan itu mesti diikuti sebaik mungkin dan mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dengan mengambil kira kepentingan awam dan memastikan pelan itu diikuti dengan tepat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment