My Add

Tuesday 3 April 2012

MAS batal rancangan wujud syarikat penerbangan serantau

PETALING JAYA, SELASA, 03 April, 2012: Malaysia Airlines (MAS) membatalkan rancangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan premium jarak dekat serantau dan sebaliknya akan menawarkan perkhidmatan itu sebagai satu bahagian di bawah syarikat penerbangan tersebut.

Tanpa menyatakan sebarang sebab, Ketua Pegawai Operasi MAS (Jarak Dekat), Ignatius M C Ong, berkata terdapat sedikit penyusunan semula modul perniagaan bagi inisiatif syarikat penerbangan serantau berkenaan. "Strategi dan objektif operasi jarak dekat akan kekal tidak berubah tetapi tidak akan ada syarikat penerbangan yang baru.

"Operasi akan berada di bawah Malaysia Airlines," katanya kepada pemberita di sini selepas melancarkan ulang tahun kelima Firefly.

Ong berkata, struktur organisasi MAS tidak berubah dan pengurusan akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya bertanggungjawab bagi operasi jarak jauh syarikat penerbangan itu manakala timbalannya, Mohammed Rashdan Yusof, bertanggungjawab terhadap operasi jarak dekat syarikat.

Akhir tahun lalu, Ahmad Jauhari, semasa mengumumkan pelan perniagaan MAS, menyatakan penubuhan syarikat penerbangan premium serantau yang baru menjelang pertengahan 2012 untuk memberi tumpuan kepada perjalanan premium jarak dekat bagi laluan menguntungkan seperti ASEAN dan China.

Ketika itu beliau berkata, MAS akan menjalankan entiti baru tanpa gangguan dari entiti lain yang berkaitan dan syarikat penerbangan baru akan menjadi satu model perniagaan baru bagi keuntungan yang mampan dan memastikan fokus kepada keperluan unik pengembara premium serantau.

Pelan itu juga untuk syarikat penerbangan serantau ke semua laluan domestik dan serantau yang ditawarkan perkhidmatan oleh MAS hari ini.

Malaysia Airlines mencatatkan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, dengan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion, daripada RM13.9 bilion dalam hasil, sekali gus mencatatkan keputusan kewangan terburuk sejak penubuhannya.

Bagi suku keempat, syarikat penerbangan nasional itu mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM1.28 bilion bagi perolehan sebanyak RM3.68 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment