My Add

Tuesday 24 April 2012

Kelantan tidak pernah diketepikan - Muhyiddin


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama peniaga kecil selepas merasmikan program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana serta melancarkan Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana, Bachok, hari ini. - Foto Fathil Asri

BACHOK, SELASA, 24 April, 2012: Kerajaan Pusat tidak pernah mengenepikan Kelantan daripada arus pembangunan biarpun negeri ini telah diperintah oleh Pas selama 20 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam aspek pembangunan keusahawanan dan pengusaha kecil sederhana (PKS), Kerajaan Pusat telah memberikan pelbagai bantuan untuk golongan tersebut di negeri ini.

Beliau berkata, Kelantan sememangnya diakui terkenal di seluruh negara dengan semangat keusahawanan yang tinggi di kalangan penduduknya sehingga berjaya menghasilkan pelbagai jenis produk menjadi kegemaran ramai.

"Sehingga kini, Skim Pinjaman Mudah untuk Enterpris Kecil dan Sederhana yang ditawarkan oleh SME Corp. Malaysia di bawah kendalian Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah dimanfaatkan oleh 71 pemohon di Kelantan dengan nilai kelulusan berjumlah RM42.97 juta.

"SME Corp juga telah meluluskan 273 permohonan bernilai RM11.44 juta dalam bentuk geran kepada PKS di negeri ini termasuk 15 permohonan bernilai RM2.67 juta di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP).

"Setakat ini, kemudahan kewangan berjumlah RM166 juta bagi 130 projek telah diluluskan oleh MIDF yang telah membantu merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Kelantan dengan ketara," katanya.

Beliau berucap pada Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana - Jom Niaga serta Pelancaran Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Perdana di sini, hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment