KUALA LUMPUR, SABTU, 07 April, 2012: Kira-kira 80 peratus rakyat di negara ini memahami pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengambil alih pentadbiran negara pada 2009.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan berkata, selebihnya iaitu 20 peratus merupakan rakyat yang seolah-olah faham gagasan tersebut tetapi tidak cuba untuk memahaminya dan enggan memahami langsung ekoran hasutan segelintir pihak.
“Berdasarkan kajian Jasa dan Jabatan Penerangan, hingga kini, 80 peratus rakyat memahami gagasan 1Malaysia kerana merasai perkhidmatan dan produk gagasan itu sendiri.
“Sebagai contoh, rakyat kini lebih faham dan menerima konsep 1Malaysia yang diperkenal Najib seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan lain-lain lagi.
“Melalui baucar itu, tertera logo 1Malaysia dan secara tidak langsung ia mengingatkan rakyat mengenai pelaksanaan gagasan 1Malaysia ini,’’ katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Seminar Penyerlahan Gagasan 1Malaysia (siri 5) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Amin Senin.
Program siri 5 itu khusus kepada kira-kira 750 pengetua-pengetua, guru-guru besar, guru-guru kanan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment