My Add

Tuesday 3 April 2012

Suami isteri mangsa bom Hatyai gembira dapat pulang

HATYA, SELASA, 03 April, 2012I: Sepasang suami isteri dari Petaling Jaya, Selangor yang terbabit dalam serangan bom di sebuah hotel di sini Sabtu lalu amat terharu dengan bantuan daripada kerajaan Malaysia yang membawa mereka pulang ke Malaysia hari ini. 

Pasangan itu Choo Kok Boon, 46, (rakyat Malaysia) dan isterinya Somkhid Luagnut, 37, (rakyat Thailand) dibawa pulang dari Hospital Rajyindee di sini menggunakan sebuah ambulans Kelab Putera 1Malaysia dan terus dihantar ke Hospital Universiti Malaya, Kuala Lumpur kira-kira 12 tengah hari ini.

 Choo berkata, beliau berterima kasih dan menghargai usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam membantu mereka yang dalam kesusahan akibat kecederaan dan kehilangan dokumen pengenalan diri.

"Saya gembira kerana dapat balik ke Malaysia dan jumpa saudara mara yang sedia menunggu di sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu hari ini. 

Beliau berkata, berada di Malaysia lebih selamat dan boleh mendapatkan rawatan yang lebih selesa manakala rakan dan saudara yang lain dapat melawat dengan mudah. 

Sementara itu, Pengerusi Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mengetuai misi membawa pulang rakyat Malaysia itu, berkata empat lagi mangsa, akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kira-kira 3 petang ini. 

Mereka ialah dua pasangan suami isteri yang dirawat di Hospital Songkla Nagarind. 

Abdul Azeez berkata, pihak hospital sudah dimaklumkan mengenai penghantaran kesemua mangsa itu dan mereka akan menerima rawatan pemeriksaan kesihatan semula bagi membolehkan mereka menerima rawatan yang baik daripada pakar di Malaysia. 

Beliau berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, untuk tindakan lanjut. 

"Saya akan menunggu dalam beberapa hari lagi untuk memantau sekiranya ada rakyat Malaysia yang masih terperangkap akibat serangan bom itu untuk dibawa pulang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment