My Add

Monday 16 April 2012

Najib lancar Preve, kereta global pertama Proton

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga dari kiri), Pengerusi Eksekutif PROTON, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil (kiri) dan Pengarah Urusan PROTON, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir pada pelancaran PROTON Preve di Seri 

SERI KEMBANGAN, ISNIN, 16 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi melancarkan Proton Preve, kereta global pertama Proton di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) di sini. 

Model baru, yang bertujuan dapat mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi standard eksekutif automatik CVT dan RM72,990 seunit bagi versi premium.

Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Penasihat Proton Holdings, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Ali, Pengerusi Eksekutif Proton Holdings, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Najib berkata, keupayaan untuk mengeluarkan sebuah kereta yang global adalah suatu mercu tanda kejayaan yang amat penting kepada Proton kerana untuk mencapai tahap piawaian dan standard antarabangsa terbabit, ketelitian dan fokus kepada aspek kualiti tidak boleh dipandang ringan. 

"Semuanya harus berada pada tahap 'global standard'. Saya sendiri sangat berbangga dengan keupayaan Proton dan ini membuktikan bahawa kereta kita juga setaraf atau lebih baik dari kereta berjenama antarabangsa yang lain," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kereta berkenaan. 
PROTON Preve ditawarkan pada harga RM59,990 hingga RM72,990 seunit.
Dalam pada itu, beliau berkata, untuk memastikan Proton dan semua syarikat automatif tempatan dapat bersaing dengan kereta terkemuka dunia, kerajaan menerusi Dasar Automatif Negara (DAN) sudah menggariskan pelbagai insentif bertujuan meningkatkan daya saing industri automatif tempatan bagi jangka panjang. 

Katanya, ini termasuk penyediaan pelbagai insentif dan pakej geran dan dana automatif yang komprehensif serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan usahasama strategik dengan rakan dagang utama negara.

"Kerajaan juga sedang mengkaji semula DAN yang akan merangkumi skop yang lebih luas dengan mengambilkira kepentingan semua pihak termasuk syarikat kereta, vendor, institusi kewangan dan pengguna. 

"Insyallah, pembentangan cadangan akhir ini akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet tidak lama lagi," katanya.  - BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment