GUA MUSANG, AHAD, 01 April, 2012: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membuka ladang kayu gaharu di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dalam masa terdekat ini, kata Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata, peruntukan permulaan itu diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengunjungi Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya Ahad lalu.
''Saya menemui Perdana Menteri sebelum saya datang ke majlis ini supaya apa yang saya cadangkan untuk membuka ladang kayu gaharu menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas majlis Penutup Kembara Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 2012, di Padang Awam Pos Brooke dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Mohd. Sani Mistam, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof dan Pegawai Pembangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhamad Shukri Ab. Aziz. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment