My Add

Wednesday 18 April 2012

PRU13 lebih mencabar bagi SPR?

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 April, 2012: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mungkin lebih mencabar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskannya kerana pertembungan parti yang bertanding dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya umum sebelumnya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) berkata, untuk itu, SPR akan memastikan semua pegawai dan petugasnya memahami serta menguatkuasakan peraturan pilihan raya dengan sempurna bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku pada pilihan raya tersebut.

"Kita mohon kepada semua parti berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPR. Kita tidak boleh melakukannya sendirian. Kita perlu kerjasama mereka dalam memastikan

pertembungan sengit dua pihak ini berlangsung dengan aman dan lancar.

"SPR juga telah dan sedang menyediakan kemudahan daripada segi logistik, peralatan dan fasiliti mengundi. Bila dewan (Parlimen) bubar kita telah bersedia," katanya kepada Bernama dan RTM di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri sesi temu bual khas lebih sejam bersama radio Klasik Nasional FM bagi membincangkan hal-hal berkenaan SPR dan PRU.

Sementara itu, Abul Aziz berkata, pengundi yang berstatus meragukan dalam daftar pemilih masih boleh mengundi pada PRU ke-13 akan datang sekiranya mereka benar-benar layak.

"Bila mereka datang ke pusat mengundi nanti kita akan bersedia untuk melakukan semakan secara menyeluruh terhadap mereka sebelum kita benarkan mereka mengundi.

"SPR tidak akan menghakis hak mereka sebagai pengundi hanya kerana masalah seperti ini. Namun jadi tanggungjawab pengundi menyemak status mereka di laman web SPR, melalui telefon atau pelbagai cara lagi, bagi menyelesaikan masalah ini lebih awal," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah pengundi yang meragukan itu, kira-kira 22,000 orang gagal mengambil kad pengenalan yang telah disiapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh melebihi 20 tahun menyebabkan mereka diletakkan dalam status meragukan.

Semalam, Abdul Aziz berkata, hanya 0.3 peratus daripada 12.6 juta pemilih diklasifikasikan sebagai pengundi yang meragukan setelah rekod mereka didapati meragukan oleh JPN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment