My Add

Saturday 21 April 2012

Raja Permaisuri Agong rai kanak-kanak di Istana Negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 April, 2012: Hampir 500 murid sekolah hari ini diraikan pada majlis jamuan mesra kanak-kanak bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Istana Negara di sini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Muad'zam Shah.

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian 'Menghadap Balai dan Asyik' dari SK Long Ghafar, Kota Baharu, Kelantan dan persembahan ghazal 'Sri Mersing' dan 'Penawar Rindu' dari SK Seri Bahagia Benut, Pontian Johor.

Ini diikuti persembahan nyanyian dan tarian 'My 1Malaysia' dari SK St James, Likas, Sabah dan tarian India dari SJK (T) Taman Melawati, Selangor.

Kanak-kanak istimewa dari Sekolah Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur turut mempersembahkan lagu 'Sway' dan 'Ombak Rindu' sebelum persembahan menutup tirai oleh semua murid yang mengambil bahagian dengan lagu "Merafak Sembah" yang digubah khas Kementerian Pelajaran sempena majlis itu.

Majlis berkenaan dikendalikan pengacara terkenal, Aznil Nawawi.

Antara murid sekolah yang hadir pada majlis itu ialah dari SK Seri Anggerik, Cheras; SK Seri Murni, Kuala Lumpur; SJK (C) Yu Hua, Kajang, Selangor; SMK Jugra, Banting, Selangor dan SK Seri Terentang, Pekan, Pahang.

Sebelum berangkat pulang, Raja Permaisuri menyampaikan cenderahati kepada sekolah yang membuat persembahan dan beramah mesra dengan kanak-kanak yang hadir. 

Hadir sama ke majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment