My Add

Thursday 26 April 2012

Rasuah: Pengurus kilang dijel sehari, denda RM25,000

Oleh AZIZI MAJID

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 26 April, 2012: Seorang pengurus kilang perabot hari ini dihukum penjara sehari dan denda RM25,000 selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM5,000 kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan kerana mencuri bekalan arus elektrik tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Choong Peng Kong, 47, dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Peng Kong didakwa memberikan sogokan kepada Mohd. Sanusi Zakaria yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Keselamatan dan Risikan TNB, Kuala Lumpur sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas Unique Point Manufacturing Sdn. Bhd. di Nombor 5, PTD 190780, Jalan Desa Tropika 1, Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram di sini kerana disyaki mencuri bekalan arus elektrik.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Coffee House, Hotel Dorsett, Jalan Masai Lama, Plentong di sini pada pukul 11.20 malam, 6 Julai 2011.

Peng Kong didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment