My Add

Tuesday 3 April 2012

Tiada cadangan beri saguhati kepada bekas anggota PTT

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 April, 2012: Kementerian Pertahanan belum bercadang untuk memberi wang saguhati kepada bekas anggota Pasukan Pertahanan Tempatan (PTT) yang pernah dikerah untuk memerangi komunis sekitar 60-an dan 70-an. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata ini kerana golongan veteran tentera itu sudah menerima pelbagai imbuhan sama ada secara jangka masa panjang atau pendek.

 "Golongan ini mendapat pembelaan berpanjangan sebagai veteran Angkatan Tentera Malaysia yang mana pelbagai kemudahan dan skim bantuan diperoleh, antaranya skim khas, skim bantuan kebajikan dan pendidikan serta bantuan kepada tanggungan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Baharum bertanya sama ada Kementerian Pertahanan bercadang untuk memberi wang saguhati kepada bekas anggota PTT seperti mana kerajaan memberi saguhati sebanyak RM3,000 kepada mereka yang pernah bertugas dalam pasukan Home Guard, Special Constable dan lain-lain. 

Abdul Latiff berkata, bantuan yang diterima oleh bekas anggota PTT tidak wujud dalam perkhidmatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), skim kakitangan awam dan juga pada mereka yang pernah bertugas dalam pasukan Home Guard, Special Constable dan lain-lain. 

Katanya, saguhati kepada bekas polis termasuk Home Guard dan Special Constable sebagai pasukan keselamatan dilaksanakan selepas kerajaan mempertimbangkan bahawa mereka tidak pernah mendapat sebarang imbuhan mahupun ganjaran selepas mereka berhenti dari perkhidmatan semasa pemerintahan British. 

"Lain pula dengan bekas anggota PTT yang diberi bantuan setiap bulan sama ada untuk jangka masa pendek dan juga panjang, bagi memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa, malah kalau dicampur semua bantuan ini adalah lebih daripada RM3,000," kata Abdul Latiff. 

Beliau berkata, veteran PTT turut menerima perkhidmatan perubatan percuma di hospital kerajaan, bantuan bencana alam, khairat kematian dan yuran pengurusan serta bantuan sara hidup antara RM100 dan RM300. 

Kerajaan turut memberi sumbangan peralatan pesakit seperti kerusi roda serta imbuhan bagi membantu persekolahan anak-anak veteran termasuk bekas anggota PTT iaitu RM1,500 bagi anak yang menyambung pelajaran ijazah, RM1,000 buat diploma dan RM500 untuk sijil. 

"Jika nama seseorang pesara itu tercicir dari mendapatkan bantuan, mereka boleh datang ke Jabatan Hal Ehwal Veteran dengan menunjukkan bukti dan kita sedia membantu kerana kita tidak mahu mereka tertinggal," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment