My Add

Wednesday 11 April 2012

'Tak usik hartanah Jalan Sultan'

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Najib beri jaminan projek MRT kekal entiti, isytihar bangunan warisan

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tidak ada hartanah di Jalan Sultan yang diambil untuk pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT).

“Ia akan diisytiharkan sebagai bangunan warisan,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Akhbar Oktober lalu melaporkan bahawa pelaksanaan projek MRT Sungai Buloh-Kajang yang tamat di Jalan Sultan di ibu negara tidak akan merobohkan bangunan di laluan itu, walaupun ia tidak diwartakan sebagai bangunan warisan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, dilaporkan sebagai memberi jaminan bahawa pemilik projek, iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, akan memastikan kerja pembinaan terowong tidak menjejaskan bangunan di sepanjang laluan terbabit.

Dalam pada itu, Najib melalui Twitter semalam juga memberi jaminan bahawa sekolah jenis kebangsaan Cina di negara ini akan seperti sedia ada.

“Sekolah vernakular Cina adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara,” katanya.

Seterusnya, Perdana Menteri turut memberitahu pengikut Twitter beliau bahawa rang undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sudah dibentangkan di Parlimen, semalam.

“Rang undang-undang baru yang bakal menggantikan ISA sudah dibentang di Parlimen, seperti dijanjikan pada 15 September tahun lalu,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bertujuan memansuhkan ISA. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment