My Add

Friday 6 April 2012

Usah lanyak SPR, tuduh polis tak adil

Oleh Norfatimah Ahmad, Shaarani Ismail dan Norakmah Mat Youb

Shahrir tegaskan kemenangan calon dalam pilihan raya ditentukan pengundi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 April, 2012: Ucapan ringkas Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad hari ini menarik perhatian Sidang Dewan Rakyat sehingga sepi seketika apabila beliau menegaskan kemenangan seseorang wakil rakyat bila bertanding akhirnya ditentukan Allah dan pemilihan pengundi.

“Dengan itu, tidaklah perlu untuk mana-mana pihak dengan sengaja melanyak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menuduhnya tidak adil dan mendakwa polis tidak adil bagi menggambarkan kononnya proses pilihan raya tidak bersih.

“Adakah apabila semua menang baru kita kata sistem pilihan raya kita betul. Saya rasa kita tidak boleh berbuat demikian kerana kita tidak tahu hati rakyat.

“Oleh itu, saya mahu letakkan dalam rekod perbahasan bahawa yang akhirnya menentukan nasib kita sebagai seorang wakil rakyat bila bertanding adalah dengan kita bertawakal dan serah kepada Allah, juga kepada kebijaksanaan rakyat,” katanya.

Shahrir berkata demikian ketika mencelah Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012, mempertikaikan kewibawaan SPR ketika mengendalikan proses pilihan raya.

Pada 1988, Shahrir terpaksa melepaskan kerusi yang disandangnya untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil Parlimen Johor Baharu selepas dipecat daripada UMNO. 

Beliau yang bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang cap tiga kunci dan menewaskan calon BN Mas'ud Abdul Rahman dengan majoriti lebih 12,000 undi.
Kemenangan itu adalah satu sejarah kerana beliau satu-satunya yang menang bertanding atas tiket calon bebas di kerusi itu.

Beliau mengakhiri ucapan ringkas itu dengan berkata: “Janganlah lanyak sini lanyak situ yang akhirnya yang menentukan adalah hati manusia yang juga boleh melihat hati kita.” 

Kata-katanya itu juga menyebabkan sebahagian wakil rakyat kerajaan menepuk meja sebagai tanda sokongan.

Sebaik habis, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar berkata beliau terpegun dengan kata-kata Shahrir itu. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment