My Add

Saturday 14 April 2012

Yang di-Pertuan Agong sertai Golf Diraja

RAJA Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan melakukan pukulan pada acara Golf Diraja di Glenmarie Golf and Country Club (GGCC) di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM, SABTU, 14, April, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke acara Golf Diraja di sini hari ini yang dianjurkan sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14

Ketibaan Seri Paduka berdua di Glenmarie Golf and Country Club (GGCC) pada 7.30 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seri Paduka berdua kemudian berkenan bersarapan bersama peserta Golf Diraja sebelum acara bermula 8.15 pagi.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, turut berangkat menyertai acara itu selain Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, beramah mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid (kiri); dan Jeneral Tan Sri Mohd Shahrom Nordin (kanan) semasa acara Golf Diraja di Glenmarie Golf and Country Club (GGCC), Shah Alam, hari ini sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Rabu lalu. - Foto BERNAMA

Antara Menteri Kabinet yang mengambil bahagian ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jemputan lain ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Tuanku Abdul Halim yang juga Sultan Kedah, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Rabu lalu. - BERNAMA

1 comment:

  1. www.arrayah.info : Perbandingan Kekuasaan Khalifah dengan Kekuasaan Yang Di Pertuan Agong

    ReplyDelete