My Add

Wednesday 11 July 2012

Ambil lebih ramai bukan Cina

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) disaran supaya membuka lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar bukan berketurunan Cina untuk memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berkenaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, langkah itu bagi membantu meningkatkan interaksi antara golongan muda berbilang kaum, sekali gus menyahut hasrat kerajaan untuk mengintegrasikan rakyat.

Menurut beliau, pentadbir kedua-dua IPTS berkenaan boleh mempertimbangkan kaedah-kaedah tertentu bagi mempermudahkan urusan kemasukan pelajar bukan keturunan Cina.

''Kita berharap KTAR dan UTAR tidak bersifat terlalu eksklusif untuk kaum Cina sahaja. Saya difahamkan, pelajar-pelajar keturunan tersebut mempunyai kelebihan untuk memasuki kedua-dua IPTS itu.

''Secara umumnya, masyarakat tahu pelajar-pelajar berbangsa Cina mempunyai daya saing yang lebih tinggi berbanding pelajar Melayu dan India," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Firdaus mengemukakan cadangan agar KTAR dan UTAR membuka pintu kepada lebih ramai pelajar Melayu dan India ketika mencelah perbahasan Senator Khoo Soo Seang berhubung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012.

Jelas beliau, Soo Seang memaklumkan KTAR dan UTAR memang membuka pintu kepada pelajar-pelajar bukan berketurunan Cina, namun tidak menetapkan sebarang kuota kemasukan.

''Saya melihat maklum balas Soo Seang itu sebagai sambutan positif terhadap cadangan saya dan berharap ia akan direalisasikan oleh dua IPTS terbabit," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment