My Add

Monday, 2 July 2012

ASEAN, PBB diminta bantu henti pembunuhan etnik Rohingya

PERMATANG PAUH, AHAD, 01 Julai, 2012: Persatuan Islam Untuk Kemajuan Rohingya (UNIROD) di Malaysia merayu negara-negara ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya membantu untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.

Ketuanya, Muhammad Islam Sultan Ahmad berkata, tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan umat Islam Rohingya menjadi pelarian dan kekurangan makanan.

Beliau mendakwa tindakan terhadap etnik Islam Rohingya di 15 daerah di Arakan (Rakhine) begitu kejam kerana mereka dibunuh dan dirogol oleh penganut agama Buddha dalam usaha untuk menghapuskan etnik Islam di Myanmar.

"Selain itu, imam dan masjid serta rumah masyarakat Islam Rohingya dibakar oleh kumpulan tersebut membuktikan ia merupakan satu tindakan kejam dan mencabuli hak asasi kemanusiaan di negara itu.

"Kebanyakan pelarian yang menghadapi kebuluran kini berada di sempadan Bangladesh, tetapi Bangladesh tidak membenarkan pelarian Rohingya memasuki negara itu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan bantahan dan misi pengumpulan makanan untuk membantu pelarian Rohingya di Masjid Jamek Seberang Jaya di sini.

Pulau Pinang menjadi negeri pertama melancarkan Misi Pengumpulan Makanan untuk dihantar ke Rohingya sebagai simpati masyarakat Islam terhadap pelarian Rohingya.

Muhammad Islam yang juga Ahli Lembaga Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) berkata, apa yang menyedihkan kanak-kanak dibunuh dan dirogol dalam usaha untuk menafikan hak umat Islam di Myanmar.

Katanya, media antarabangsa termasuk Malaysia diminta ke Myanmar untuk melaporkan mengenai pergolakan yang berlaku di negara tersebut.

Sementara itu, majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan meminta bantuan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menghantar misi bantuan makanan kepada pelarian Rohingya di Myanmar.

Setiausaha Agungnya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi membantu supaya misi bantuan makanan dapat dihantar segera ke negara itu.

Selain itu, pihaknya juga meminta negara-negara ASEAN supaya menghantar bantuan makanan bagi mengurangkan penderitaan yang ditanggung pelarian Rohingya.

"Kita sedih dengan kejadian pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment