My Add

Tuesday 3 July 2012

Bekas pengarah eksekutif tak mengaku pecah amanah RM1j

KUALA LUMPUR, SELASAI. 03 Julai, 2012: Seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat pembuatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah terhadap wang syarikatnya melibatkan lebih RM1 juta, empat tahun lalu.

Hashmizar Hakimi, 49, memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifli Jusoh.

Hashmizar pada waktu kejadian bertugas di Sturgeon & Caviar Inc. (M) Sdn. Bhd. didakwa bersama warga Austria yang masih bebas, Manfred Straka, melakukan pecah amanah terhadap harta syarikat tersebut.

Ia dilakukan dengan cara meluluskan bayaran RM785,000 melalui empat keping cek kepada Akuatik Niaga Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Sturgeon & Caviar, 26-2, Jalan Setiabakti 2, Plaza Damansara, Bukit Damansara di sini antara 15 Ogos 2008 dan 17 September 2009.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh bersama Straka didakwa mencapai niat bersama meluluskan bayaran berjumlah RM236,000 kepada Icor Consulting (M) Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikatnya di tempat yang sama antara 1 Mei 2008 dan 9 September 2009.

Ia didakwa dilakukan menerusi transaksi 13 keping cek.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. - UTUSAN



No comments:

Post a Comment