My Add

Saturday, 21 July 2012

'Bila untung mereka dulu tampil'

JERANTUT, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan kerajaan Pas Kedah menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membeli saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) sama seperti tindakan sekumpulan para peneroka yang memfailkan injunksi menghalang penyenaraiannya tetapi pada masa sama menjadi antara yang terawal mengambil durian runtuh.

Tegas Perdana Menteri, sepatutnya pihak-pihak yang menentang penyenaraian FGV di Bursa Malaysia termasuk pembangkang tidak mengambil manfaat daripada langkah tersebut.

"Dia tak usah terimalah (tawaran) sepatutnya. Tapi dia dah terima, maka dia dapat keuntungan. Macam orang yang bawa kes (injunksi) ke mahkamahlah, bila sampai keuntungan dia pertama sekali nak kaut untung, tetapi sebaliknya dia cuba nak merosakkan Felda sebagai sebuah organisasi dan nak jatuhkan nilai saham FGV," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Skim Bantuan Kasih Felda di Felda Padang Piol, di sini hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas pembelian saham FGV oleh PKNK yang kemudian menjualnya setelah diarahkan pimpinan kerajaan Pas Kedah atas alasan ia bertentangan dasar pembangkang yang menolak penyenaraian tersebut.

Sementara itu, Najib menegaskan, Himpunan Oren anjuran Pas di ibu negara bagi membantah penyenaraian FGV minggu lalu tidak mendapat sambutan di kalangan peneroka.

"Tak ramai pun peneroka, hari itu berapa kerat saja ada. Kita dah semak siapa yang hadir," jelasnya.

Ditanya sama ada perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menghentikan pembohongan pembangkang ke atas Felda, Najib berkata, apa yang penting adalah sokongan dan kepercayaan peneroka terhadap kerajaan.

"Kita telah buktikan apa yang kita buat memang memberi faedah kepada peneroka. Kalau jejaskan kepentingan mereka saya percaya peneroka tak akan sokong kerajaan," ujarnya.

Berhubung tindakan pembangkang memanipulasikan tawaran jumlah saham FGV sebanyak 800 unit kepada peneroka yang didakwa sebagai tidak memadai, Najib berkata:

"Ia memadai, tapi kita tengok dululah dan akan kaji untuk pastikan mereka benar-benar dapat keuntungan atau tidak. Sebab nak beli saham kita tak boleh nak kata tambah saja, kena keluar modal.

"Saham pun sedikit sebanyak ia mesti turun naik juga. Tapi alhamdulillah, setakat ini saham kita naik, jadi apa pun yang kita nak bagi bukan percuma, saham orang kena bayar." - UTUSAN

No comments:

Post a Comment