My Add

Friday 27 July 2012

BN letak Islam di tahap tertinggi walau tidak guna label Islam - PM

IPOH, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan label Islam namun parti itu tidak akan mengabaikan amanah meletakkan perjuangan agama di tahap paling tinggi selari dengan matlamat menegakkan maqasid syariah.

Sambil menyelar golongan tertentu yang sanggup menyempitkan agama demi kepentingan politik, Perdana Menteri berkata, BN tetap mempertahankan asas-asasmaqasid syariah termasuk dalam soal memelihara agama, akal dan keturunan.

"Itulah panduan induk kita sebagai sebuah parti. Kita berpandu kepada maqasid syariah yang berkehendakkan kita menjaga agama, soal ilmu, begitu juga akal, keturunan dan ekonomi.

"Semua ini kehendak Islam, Islam tidak mengajar kita menyempitkan agama, tetapi orang yang menyempitkan agama ialah puak-puak tertentu yang melakukannya kerana kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 5,000 orang di kediaman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Timbalan Pengerusi Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.

Najib dalam ucapannya turut menekankan perjuangan agama perlu diletakkan melampaui kepentingan politik bagi memastikan perpaduan dan kesejagatan ummah dan masyarakat dapat dipertahankan.

"Kalau kita tidak meletakkan Islam pada tempat tertinggi dan utamakan politik daripada agama, maka apa yang orang lain buat walaupun baik, semua menjadi tidak betul.

"Sebab itu, pembangkang tuduh Felda bankrap, selepas itu nak halang pula penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd.. Ini semua angkara orang yang iri hati dengan apa yang kita buat, walaupun ia baik untuk rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment