My Add

Thursday 19 July 2012

BN Sabah tumpu media sosial dekati rakyat

SANDAKAN, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Barisan Nasional (BN) Sabah menumpukan penggunaan media sosial dalam memberi penjelasan kepada rakyat terutama menangani dakyah pemimpin pembangkang. 

Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata pihaknya menyedari keberkesanan media sosial dalam politik pada masa sekarang dan menjadi saluran yang penting dalam mendekati rakyat. 

Sehubungan itu, katanya BN Sabah telah mengambil pendekatan dalam penggunaan media sosial dan merangka program yang sesuai dengan tumpuan memberi penjelasan kepada rakyat. 

"Media sosial merupakan landasan penting dalam senario politik pada masa sekarang dan BN Sabah akan memastikan ia tidak ketinggalan untuk menggunakannya," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Jalinan Mesra bersama Pemimpin BN Beluran di sini malam tadi. 

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, penggunaan media sosial merupakan antara pendekatan yang diambil oleh BN Sabah dalam mendekati rakyat selain melalui program pemimpin turun padang. 

Katanya ia juga adalah sebahagian pendekatan yang diambil dalam persiapan BN 
Sabah menghadapi pilihan raya umum akan datang. 

Beliau berkata semua pendekatan itu akan dilihat semula keberkesanannya dan akan ditambah mengikut kesesuaian termasuk berdasarkan pendekatan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan BN pusat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment