My Add

Saturday 28 July 2012

Dasar perniagaan kecil dapat sanjungan

MELBOURNE, JUMAAT, 27 Julai, 2012: Dasar pembangunan perniagaan kecil yang diamalkan di Malaysia menempatkannya pada barisan hadapan di dunia, kata seorang pakar perniagaan kecil antarabangsa, Ken Phillips.

Phillips, Pengerusi Pertubuhan Perniagaan Kecil Australia, mengenal pasti Malaysia sebagai peneraju dunia. Beliau juga adalah pejuang utama perniagaan kecil, khususnya pada isu pekerja sendirian dan perniagaan makro.

Beliau turut mengetuai Persatuan Kontraktor Bebas Australia serta melaksanakan penyelidikan global dan mengulas dasar kerajaan terhadap pekerjaan sendirian.

Sambil mengkritik ekonomi maju, Phillips berkata: "Berbanding Malaysia, dasar perniagaan kecil di ekonomi maju di Eropah, Amerika Utara dan Australia biasanya diperkenalkan seolah-olah sudah terhantuk baru tengadah dan tidak melalui dasar ekonomi yang terancang."

Phillips menonjolkan bahawa kepimpinan yang cekal daripada para pemimpin kerajaan sebagai penting kepada kejayaan perniagaan kecil Malaysia.

Beliau turut kagum apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan sendiri Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia.

"Kepimpinan ini menunjukkan paras kecanggihan pembangunan ekonomi (di dalam kes ini sektor perniagaan kecil) yang sukar dilihat di ekonomi maju," katanya kepada Bernama Isnin lalu.

Phillips berkata demikian selepas satu persembahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim pada satu persidangan perniagaan kecil global di Wellington, New Zealand, baru-baru ini yang dihadiri oleh para ahli akademik, para pegawai kanan kerajaan dan pakar IKS.

Hafsah telah membentangkan secara terperinci dasar pembangunan perniagaan kecil Malaysia dan integrasinya ke dalam peningkatan ekonomi nasional, yang disifatkan Phillips sebagai satu keunikan.

"Apa yang menarik mengenai pendekatan Malaysia ini ialah mereka melihat hubungan langsung antara ekonomi berpendapatan tinggi dan percambahan serta pengukuhan perniagaan kecil.

"Saya boleh katakan bahawa saya telah melihat analisis pembangunan ekonomi sedemikian sebelum ini dan tentunya tiada satu pun diterjemahkan kepada dasar langsung kerajaan dan tindakan.

"Dasar Malaysia itu menonjol sebagai sesuatu yang berbeza dan berada di hadapan," kata Phillips, sambil menyatakan kejayaannya adalah jelas.

Ini dapat dilihat dari kenyataan bahawa pertumbuhan sumbangan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak 2004 melangkaui pertumbuhan keseluruhan KDNK.

Pembangunan perniagaan kecil dihalakan untuk membawa Malaysia dari ekonomi berpendapatan pertengahan ke tahap lebih tinggi dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Malaysia adalah negara yang mesti diberi perhatian dan itu boleh memberi banyak pengajaran kepada ekonomi maju," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment