My Add

Saturday 28 July 2012

Gunakan mandat lima tahun

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
BANGI, JUMAAT, 27 Julai, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak 2008 sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, ini kerana Najib mempunyai kuasa melaksanakan pelbagai dasar serta program untuk rakyat demi pembangunan negara secara keseluruhan.

Selain itu, katanya, adalah tidak adil untuk Najib mengadakan pilihan raya secara tergesa-gesa sebelum cukup tempoh lima tahun pemerintahan BN apatah lagi beliau baru sahaja melepasi tiga tahun pentadbiran negara.

“Najib baru sahaja tiga tahun beberapa bulan memerintah negara dan beliau masih mempunyai kuasa serta masa untuk membuktikan kualiti pentadbiran melalui dasar kebajikan rakyat.

“Orang yang ada kuasa serta janji adalah amat berbeza dengan orang yang hanya mempunyai janji, tanpa memegang kuasa pentadbiran," katanya pada sidang akhbar selepas Program Semarak Kasih MPN Bersama Anak Yatim, di sini hari ini.

Seramai 360 anak yatim dari lima rumah kebajikan sekitar Selangor diraikan pada majlis berbuka puasa MPN tersebut.

Sementara itu, Profesor Kanan Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Syed Abdullah Idid berkata, kepimpinan Najib yang banyak memberi tumpuan kepada soal kebajikan rakyat membuatkan populariti beliau meningkat berbanding pentadbiran sebelumnya.

“Melihat kepada kegigihan dan kesungguhan Najib, saya berpandangan tiada sebarang masalah untuk BN terus mentadbir negara selepas pilihan raya umum akan datang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment