My Add

Thursday 5 July 2012

Dua lelaki didakwa menyamar tentera

*ANGGOTA polis membawa Lionel Albert Goonting dan pereka grafik, Alison Felix De Silva keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, semalam selepas dituduh menyamar dan memakai pakaian tentera, di Kem Terendak bulan lepas. - BERNAMA

ALOR GAJAH, RABU, 04 Julai, 2012: Seorang ahli perniagaan dan seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyamar dan memakai pakaian anggota tentera baru-baru ini.

Lionel Albert Goonting, 37, dan Alison Felix De Silva, 39, masing-masing didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memakai pakaian tentera laut dan tentera darat ketika mengetahui bahawa mereka tidak memegang jawatan itu.

Mereka juga masing-masing didakwa sengaja memakai pakaian tentera laut dan tentera darat dengan niat supaya dipercayai sebagai seorang kelasi dan askar.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Markas 10 Briged Para, Kem Terendak kira-kira pukul 2.45 petang, 23 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya serta Seksyen 140 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Majistret Mohd. Firdaus Salleh membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Meran Anak Emai manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris dan Ahmad Faiz Munawar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment