My Add

Thursday 5 July 2012

Kebocoran maklumat projek LRT Ampang disiasa

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Julai, 2012: Polis menyiasat satu laporan polis yang dibuat seorang pegawai kerajaan berhubung kebocoran maklumat yang dikategorikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dalam pemberian tender projek sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, bernilai lebih RM1 bilion.

Ia telah dikesan menerusi artikel di dalam satu portal berita sebelum pegawai tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, pihaknya memandang serius kerana kebocoran maklumat OSA boleh menjejaskan kepentingan negara.

"Sehubungan itu, satu pasukan penyiasat khas telah diwujudkan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(1)(i) OSA 1972.

"Mereka yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa di mahkamah dan ditahan penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih tujuh tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Jelas Mohd. Bakri, siasatan berhubung kes itu dijalankan secara menyeluruh dan telus untuk melihat punca kejadian itu.

"Siasatan bermula hari ini. Kita akan meneliti apa maklumat yang bocor, tujuan ia didedahkan, siapa yang terlibat dan bagaimana ia berlaku.

"Individu berkenaan yang dipercayai boleh membantu siasatan akan dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Semalam, satu portal berita menyiarkan dakwaan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berhubung pemberian tender untuk projek sambungan LRT Ampang, kepada konsortium George Kent dengan penilaian rendah berbanding pembida lain dari segi pengalaman dan kemahiran teknikal.

Rafizi memberitahu, keputusan penilaian teknikal oleh perunding kejuruteraan Halcrow untuk projek bernilai lebih RM1 bilion itu mendapati bahawa konsortium berkenaan tiada pengalaman dalam projek rel dan hanya pernah mengendalikan projek bernilai RM40 juta.

Rafizi menjelaskan perkara itu dikesan melalui satu surat bertarikh 12 Disember 2011 oleh Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar kepada jawatankuasa perolehan di Kementerian Kewangan yang dipengerusikan Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment