My Add

Tuesday 24 July 2012

Elak guna bahan polistirena: Raja Muda Perlis

KANGARm SELASA, 24 Julai, 2012;: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu bahan polistirena tidak lagi digunakan pada majlis baginda mulai sekarang kerana ia boleh membawa kemudaratan. 

Baginda juga berharap jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah turut mengambil langkah yang sama demi kebaikan kesihatan.

Bertitah merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan sempena majlis berbuka puasa dan solat sunat Tarawih di Istana Arau di sini malam tadi, baginda mencadangkan bahan polistirena digantikan dengan plastik yang boleh terurai secara biologi termasuk bungkusan kertas yang lebih mudah dilupuskan. 

"Negara maju tidak menggunakan bahan polistirena sebaliknya menggunakan bungkusan kertas," titah baginda. 

Satu kajian menunjukkan bahawa bahan stirena dan benzin yang terdapat dalam polistirena boleh membawa kesan buruk kepada manusia termasuk gangguan sistem saraf di samping kesan kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon dan ia tidak boleh dikitar semula. 

Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan bahaya ancaman demam denggi kerana ia dikesan berlaku di beberapa lokasi di Perlis. 

"Muka bumi Perlis berada dalam jangkauan semua agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkuasa tempatan dan tiada sebab epidemik ini tidak dapat ditangani dengan segera," titah baginda. 

Menurut baginda, pelbagai pihak perlu lebih serius dan komited dalam isu gejala demam denggi di samping isu kebersihan awam dan penguatkuasaan supaya ia dapat diselesaikan sehingga ke akar umbi. 

Majlis itu dihadiri lebih 100 tetamu yang terdiri daripada ketua jabatan, pemimpin institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta wakil media. 

Mereka turut menyertai sesi percambahan minda berkaitan pembangunan negeri dan langkah berkesan menjaga kebersihan sebelum majlis berbuka puasa dan hasil perbincangan itu dibentangkan selepas solat sunat Tarawih. 

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala. 

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment