My Add

Monday 23 July 2012

Generasi muda semakin bijak menilai - Reezal

KEPALA BATAS, ISNIN, 23 Julai, 2012: Usaha pembangkang mempengaruhi golongan belia agar menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya kerana mereka semakin bijak menilai siapa yang mampu memenuhi aspirasi golongan itu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata golongan belia kini menyedari parti pembangkang hanya pandai berjanji bagi mempengaruhi pemikiran mereka tetapi tidak mampu untuk menterjemahkannya.

"Ini bukan soal kita bercakap atas sentimen kepartian tetapi aspirasi orang muda yang merasakan bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk masa depan mereka dan saya tidak fikir mereka (pembangkang) dapat memberi apa-apa kepada mereka.

"Lebih-lebih lagi atas keprihatinan khusus diberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang peka masalah dan bentuk pembangunan aspirasi rakyat termasuk untuk golongan muda," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada 33 buah masjid di Parlimen Kepala Batas, di sini malam tadi.

Setiap masjid menerima sumbangan wang tunai, beras dan kurma untuk keperluan sepanjang bulan puasa ini.

Reezal, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, berkata dakwaan pembangkang bahawa mereka mendapat sokongan generasi muda termasuk generasi kedua Felda juga sebenarnya tidak menjadi kenyataan.

Katanya golongan muda kini mula memberi sokongan kepada BN kerana percaya parti itu mampu memberi jaminan masa depan kepada mereka berbanding pembangkang yang hanya pandai menabur janji.

"Kita boleh lihat sendiri sokongan golongan muda terhadap kerajaan kerana setiap program yang dianjurkan mendapat sambutan yang mengalakkan daripada golongan berkenaan, contohnya himpunan belia baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata pembangkang juga kini sudah ketandusan isu untuk dibangkitkan apabila kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan program bagi memenuhi setiap lapisan masyarakat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment