My Add

Sunday 1 July 2012

Jais terus Karim terajui GPMS

KUALA TERENGGANU, SABTU, 30 Jun, 2012: Jais Abdul Karim terus diberi kepercayaan menerajui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi penggal 2012-2015 setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan pertubuhan itu hari ini.

Dalam pemilihan yang berlangsung pada Persidangan Tahunan GPMS Ke-58 di sini, turut tidak dicabar ialah Ezaruddin Abdul Rahman bagi jawatan timbalan presiden yang menggantikan Rosdi Amir yang mencapai had usia.

Hassanal Amir Abdul Halim dan Hazimin Abu Bakar pula menang tanpa bertanding bagi jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap.

Bercakap kepada pemberita pada majlis perasmian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini, Jais memberitahu, untuk jawatan naib presiden, lima calon bertanding merebut tiga tempat yang disediakan.

Mereka ialah Ahmad Yaakob Nazri, Alif Anas Mohd. Noor, Datuk Irmohizam Ibrahim, Hisyamuddin Abd. Rahman dan Marwan Abu Kassim.

Jais berkata, 10 calon lagi akan bertanding bagi merebut enam jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi GPMS dan keputusan undian akan diketahui malam ini.

Perasmian persidangan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang dilakukan serentak dengan pelancaran Skuad Jelajah Motivasi Petua Peperiksaan 1Malaysia GPMS-Score A 2012.

Hadir sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee serta Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Mat Yusof Mat Ali.

Seramai 686 perwakilan GPMS dari seluruh negara hadir pada persidangan yang pertama kali diadakan di luar Lembah Klang itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment