SUNGAI PETANI, SABTU, 30 Jun, 2012: Rakyat Malaysia kini berada dalam proses di mana mereka melupakan asas-asas pembinaan negara yang telah dibina sejak dari zaman dahulu.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, perkara tersebut adalah sesuatu yang amat dibimbangi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pembinaan negara seperti yang dicapai kini mengambil masa yang amat panjang.
Zainuddin berkata, rakyat kini lupa proses dari mana mereka datang serta kemajuan negara bukan datang dengan mudah.
"Kita telah menjadi manusia yang tidak tahu bersyukur dan Dr. Mahathir sendiri mengakui beliau tidak sanggup untuk menjadi Perdana Menteri jika dilantik semula ketika ditanya dalam satu majlis di Sabah baru-baru ini.
"Ini memberi gambaran bahawa betapa sulit dan pincang negara ini sekarang kerana maruah kita telah terhakis dan masa depan kita tidak menentu," katanya ketika menyampaikan ucaptama Wacana Pemikiran Tun Dr. Mahathir anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah dan Kelabchedet.Com di Kompleks KISMEC, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Yang Dipertua Perkasa Kedah, Syed Osman Syed Mansor.
Menurut Zainuddin, program pembangunan ekonomi negara yang diterajui oleh Dr. Mahathir sejak dilantik menjadi Perdana Menteri berjalan dengan pantas dan berkesan.
"Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksana dengan agresif serta dinamik sehingga orang Melayu berada di dalam arus perdana. Pada era pemerintahan Dr. Mahathir, beliau berjaya membangunkan perasaan nasionalisme rakyat, beri maruah, kesedaran dan penghormatan kepada rakyat.
"Malangnya selepas itu rakyat tidak sedar apa yang mereka telah peroleh dan lupa jasa beliau," jelasnya.
Menurut beliau, Dr. Mahathir telah melebarkan maruah rakyat, namun seorang 'kawan' telah meruntuhkannya.
"Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mengumpul kembali kepingan maruah yang kian terhakis ini. Sekarang terpulang kepada kita untuk kembalikan maruah tersebut atau terus membiarkannya runtuh," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment