My Add

Tuesday 3 July 2012

Kakitangan awam perlu drastik ubah sikap: Cuepacs

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Julai, 2012 - Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap yang drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.

Omar berkata, penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada di takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa.

"Penjawat awam perlu menyahut seruan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap di tahap lama tidak mahu berubah... macam mana?.

"Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Najib berkata penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian.

Sikap itu pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI - 'Productivity, Creativity and Inovation' (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi).

Perdana Menteri, yang memang dikenali ramai sebagai 'peminat bola', turut memberi contoh kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 menumpaskan Itali 4-0 yang menurutnya dicapai apabila pasukan itu menampilkan pendekatan baharu dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

Omar berkata, bahagian latihan dan sumber manusia setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan dalam membentuk minda penjawat awam supaya mampu berfikir di luar daripada kebiasaan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

"Dengan menggunakan kaedah bukan konvensional, mekanisme baru bagi menyelesaikan masalah rakyat dan melakukan kerja harian akan terbentuk dan mekanisme ini akan membantu penjawat awam melaksanakan tanggungjawab merekadengan lebih baik," katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment