My Add

Tuesday 3 July 2012

KDS1M ringan beban lebih 1.5 juta pelajar IPT

PUTRAJAYA, ISNIN, 02 Julai, 2012: Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) dilancarkan hari ini bagi meringankan beban lebih 1.5 juta penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.

Pelancaran KDS1M yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, antara lain menawarkan potongan harga antara lima dan 60 peratus bagi pelbagai jenis barangan.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, pelaksanaan kad diskaun yang dicadangkan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) enam bulan lalu itu merangkumi semua penuntut termasuk peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Katanya, lebih menarik lagi, KDS1M turut diberikan kepada penuntut institut latihan perguruan (IPG), politeknik, Maktab Kerjasama Malaysia dan Institut Latihan Perindustrian.

Sehingga kini, menurut Timbalan Perdana Menteri, 51 buah syarikat yang terlibat dalam perniagaan buku, alat tulis, pakaian, makanan dan minuman, produk teknologi maklumat (IT), penginapan dan kesihatan menyertai program tersebut.

"Kalau boleh penyertaan syarikat bertambah supaya lebih banyak barangan keperluan dapat dibeli oleh para pelajar universiti berikutan kenaikan kos kehidupan masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran KDS1M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kos pengeluaran KDS1M tersebut dibiayai oleh Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat).

Muhyiddin berkata, adalah menjadi harapan beliau agar lebih banyak syarikat akan dapat menyertai inisiatif tersebut demi manfaat pelajar yang belajar di IPT.

"Inisiatif kad diskaun itu melambangkan usahasama dan sinergi antara kerajaan dengan sektor swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Ia juga menyokong gagasan 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang ditemui selepas majlis perasmian itu memberitahu, kad diskaun tersebut dijangka dapat digunakan semasa sesi akademik bermula pada September ini.

Katanya, kad tersebut akan hanya diedarkan kepada pelajar tempatan dan buat permulaan, ia akan diberikan untuk pelajar tahun akhir.

"Biar pun waktu cuti semester asalkan dia masih belajar, kad itu boleh digunakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment