My Add

Tuesday 3 July 2012

Tiada lagi tolak ansur

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
KUANTAN, ISNIN, 02 Julai, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan bertolak-ansur dengan pemilik premis yang masih belum menukar atau memohon sijil dan logo halal jabatan itu, disebabkan mereka sudah diberi tempoh yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini Jakim memberi kelonggaran kepada pemilik premis selama enam bulan untuk berbuat demikian, selepas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

“Kerajaan akan terus menguatkuasakan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim dan majlis agama Islam negeri (MAIN) kerana tempoh enam bulan yang diberikan telah tamat.

“Sepatutnya pengusaha premis makanan termasuk perniagaan berasaskan farmaseutikal dan kosmetik telah menukar sijil halal mereka yang dikeluarkan oleh agensi lain kepada sijil halal Jakim dalam tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 62 petugas yang ditauliahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak terhadap mana-mana premis yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal Jakim dan MAIN, serta yang masih mengekalkan sijil yang dikeluarkan oleh pihak lain.

‘‘Sepatutnya pengusaha terbabit tidak boleh memberi alasan memandangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada mereka supaya memohon sijil tersebut,’’ katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengusaha restoran dan kedai makan didapati masih ingkar untuk mempamerkan logo halal di premis masing-masing walaupun Jakim mengumumkan penggunaannya berkuatkuasa semalam.

Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan segelintir golongan peniaga bahawa proses permohonan tersebut sukar dilakukan kerana ia lewat dikeluarkan.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang ingin memohon sijil tersebut melalui Jakim boleh berbuat demikian dengan melakukannya secara dalam talian.

“Setiap permohonan baru yang diterima dengan mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh jabatan itu hanya mengambil masa sebulan untuk mendapatkan kelulusan.

“Bagi mereka yang telah memilikinya dan ingin memperbaharui sijil tersebut, proses kelulusan hanya mengambil masa satu jam sahaja," katanya.

Beliau berharap golongan terbabit segera memohon sijil berkenaan bagi mengelak sebarang kesulitan dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Sementara itu, beliau dalam ucapan pada seminar berkenaan berkata, pemimpin setempat perlu memainkan peranan dengan menerangkan konsep wasatiyyah kepada setiap lapisan masyarakat sehingga ke akar umbi.

Katanya, ia bagi mengelakkan kekeliruan memahami konsep tersebut dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia yang sering dimanipulasi oleh pihak tertentu bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment