My Add

Friday 6 July 2012

Kubur Arafat digali semula

RAMALLAH, khamis, 05 Julai, 2012: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam memberi kebenaran agar kubur bekas pemimpinnya, Yasser Arafat digali semula bagi membolehkan bedah siasat ke atas jenazahnya dilakukan.

Balu Arafat, Suha meminta satu bedah siasat dilakukan selepas sebuah makmal Switzerland menyatakan ia menemui bahan radioaktif polonium dalam barangan milik bekas pemimpin Palestin itu.

Abbas dalam satu kenyataan berkata, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama dalam melakukan ujian selanjutnya jika keluarga Arafat memberikan persetujuan.

''Pihak Berkuasa Palestin sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama untuk menyediakan segala keperluan dan kemudahan yang diperlukan untuk mendedahkan punca kematian Arafat,'' kata kenyataan itu.

Penemuan tersebut mencetuskan semula spekulasi berhubung punca kematian Arafat yang meninggal dunia pada 11 November 2005 ketika berumur 75 tahun di sebuah hospital tentera di luar Paris selepas menentang Israel selama berdekad-dekad.

Doktor Perancis ketika itu berkata, Arafat maut akibat pendarahan teruk di otak selepas beliau jatuh di kediamannya di Tebing Barat.

Menurut rekod perubatan Perancis, Arafat mengalami radang usus, penyakit kuning dan penyakit darah dikenali sebagai disseminated intravascular coagulation (DIC).

Bagaimanapun, rekod itu tidak membawa kepada sebarang kesimpulan kerana DIC boleh disebabkan oleh beberapa penyakit termasuk jangkitan, radang usus besar dan penyakit hati.

Suha yang menolak bedah siasat dilakukan ketika suaminya meninggal dunia berkata, beliau mahu ia dilakukan sekarang selepas penemuan makmal tersebut.

Bagaimanapun, Suha dalam temu bual dengan stesen Al-Jazeera, tidak menyatakan alasan beliau menunggu hampir lapan tahun bagi menguji barangan Arafat termasuk berus gigi dan topi diperbuat daripada kulit haiwan.

Ketidakpastian berhubung punca kematian Arafat menyebabkan dunia Arab menuduh Israel mendalangi kejadian itu.

Ini kerana Israel melihat Arafat sebagai halangan untuk mencapai perjanjian damai namun rejim Yahudi tersebut menolak tuduhan tersebut. - AGENSI

No comments:

Post a Comment