LABUAN, AHAD, 01 Julai, 2012: Wilayah Persekutuan Labuan sudah bersedia untuk menjadi rakan Korea Selatan dalam sektor minyak, gas dan kewangan.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata, hubungan dua hala antara Labuan dan Korea Selatan kini memasuki fasa kedua kerjasama aktif di peringkat antarabangsa.
"Malaysia, terutama Labuan, bangga atas kunjungan delegasi tiga anggota Korea Selatan yang diketuai Duta Besarnya ke Malaysia, Yong Joon Lee.
"Mereka ke sini untuk mengkaji peluang-peluang pelaburan di pulau ini," katanya.
Yussof berkata, Malaysia akan bekerja rapat dengan republik itu untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam semua bidang berkepentingan bersama dan merealisasikan aspirasi bersama Asean yang stabil dan makmur.
"Kami berpuas hati terhadap peluang-peluang perniagan antara syarikat Malaysia dan Korea dalam meneroka sektor minyak dan gas.
"Ini merupakan langkah baik dan wajar diikuti oleh industri lain di kedua-dua negara," katanya.
Yong sebelum itu mengunjungi Yussof dan kedua-dua pemimpin membincangkan pelan jangka panjang untuk membuka cawangan Bank of Korea di Labuan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment