My Add

Sunday 22 July 2012

Lebih 23,500 keluarga dapat manfaat Program Teman 1Azam

PADANG SERAI, AHAD, 22 Julai, 2012: Lebih 23,500 keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan mendapat kemudahan bantuan melalui Program Teman 1Azam dengan peruntukan RM10 juta setakat ini. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie, berkata mereka terdiri daripada kalangan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui program yang dimulakan sejak 2010 dengan peruntukan RM240 juta.

"Mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, diberi kemudahan bantuan menyertai program Teman 1 AZAM yang ditawarkan Kementerian dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan keluarga miskin di negara ini. 

"Antara pakej tersebut temasuklah Pakej Melur (Makanan Sejuk Beku), Pakej Cempaka (Pembuatan Kuih), Pakej Kemboja (Gerai Buah-Buahan), Pakej Mawar (Perniagaan Ice Blended) dan beberapa pakej lagi yang sesuai dengan minat mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 40 mesin jahit kepada 40 peserta di sini, hari ini. 

Beliau berkata, melalui pakej berkenaan peserta diberi latihan tertentu oleh jurulatih daripada syarikat pembekal untuk mengendalikan peralatan yang dibekalkan dengan betul. 

"Pakej terdahulu kita hanya membekalkan peralatan tanpa menyediakan jurutunjuk (jurulatih) dan ia menyebabkan timbul masalah untuk operasi mesin jahit dan sebagainya," katanya. 

Beliau berharap dengan wujudnya peluang itu lebih ramai golongan berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan akan dapat menambah pendapatan sampingan keluarga. 
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment