KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik tidak mempunyai sebarang niat untuk menipu Kabinet.
Ini kerana beliau telah mengarahkan pegawainya di Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) supaya mematuhi penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan.
Ia berkaitan dengan perolehan tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang sama ada melalui pengambilan tanah atau belian terus.
Tambahan pula, dua pucuk surat kepada Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan nota daripada Kementerian Pengangkutan kepada Kabinet telah disediakan oleh pegawainya.
Dalam ucapan pembukaan di peringkat pembelaan yang dibentangkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam Wong Kian Kheong berkata, anak guamnya itu bertindak selaras dengan saranan dan nasihat pegawai di Kementerian Pengangkutan.
Malahan Liong Sik, menurut Kian Kheong, tidak pernah pada bila-bila masa melakukan, mengarahkan atau meminta pegawainya untuk menyembunyikan, memberi gambaran yang salah atau mengelirukan apa-apa fakta dalam menyediakan beberapa dokumen.
Misalnya surat Liong Sik bertarikh 3 April 2002 kepada Dr. Mahathir, ringkasan nota bertarikh 29 Oktober 2002 oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan di Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor dan nota kepada tertuduh bertarikh 29 Oktober 2002.
Tambahan pula, ujar Kian Kheong, tiada sesiapa yang memaklumkan kepada Liong Sik, mengenai surat, memorandum atau sebarang dokumentasi adalah salah, cacat ataupun tidak tepat dalam apa juga cara.
Ucapan pembukaan pihak pembelaan itu dibacakan sebelum bekas Presiden MCA itu memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.
Liong Sik, 68, dengan nada suara yang perlahan mula memberi keterangan untuk membela diri pada pukul 9.40 pagi.
Sepanjang prosiding tersebut, Liong Sik kerap dilihat meneguk segelas air di hadapannya.
Liong Sik memberitahu mahkamah, dia tidak pernah menyediakan sebarang dokumen berhubung isu tanah KDSB bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Menurutnya, dia juga tidak pernah secara peribadi menyediakan nota mahupun memorandum kepada kementeriannya sendiri.
Disoal oleh peguamnya, adakah dia mempunyai alasan untuk meragui integriti pegawai kanan di bawah kementeriannya iaitu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zaharah Shaari; Abdul Rahman dan bekas Ketua Setiausaha Bahagian Maritim di Kementerian Pengangkutan, P. Chandrasekaran.
''Saya tidak mempunyai alasan untuk meragui pegawai saya ketika itu,'' katanya.
Liong Sik dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment