My Add

Tuesday 17 July 2012

Lombong haram, polis tahan empat lagi suspek

KOTA BHARU, ISNIN, 16 Julai, 2012: Polis menahan empat lagi suspek yang dipercayai mengugut beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membuat serbuan ke sebuah lombong emas haram di Sungai Emas, Felda Perasu, Gua Musang, Khamis lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 10 malam tadi dan kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Berdasarkan siasatan kes ini, polis sedang mengenal pasti beberapa lagi suspek yang terlibat.

"Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut, Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan), Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat anjuran Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri di Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu, di Kok Lanas, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin menafikan dakwaan mengaitkan anggotanya turut mengugut pegawai SPRM yang membuat serbuan ke sebuah lombong emas haram di Gua Musang.

Menurutnya, dakwaan itu lebih berunsur khabar angin dan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara tersebut.

"Itu fitnah, jangan bercakap dan jangan buat andaian sebarangan," tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Datuk Wan Mustapha Wan Ab. Hamid enggan mengulas laporan mengenai kegiatan perlombongan haram yang didakwa berlaku di negeri ini.

Ketika dihubungi, beliau enggan memberi sebarang kenyataan dengan alasan ia telah menjadi isu politik selepas mendapat liputan meluas media.

"Saya tidak mahu mengulas panjang. Ia nampaknya telah menjadi isu politik. Oleh kerana isu ini sudah menjadi kes SPRM, biar mereka teruskan siasatan. Kita tak mahu ganggu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment